Malaysiakini
BERITA

Najib: Rakyat Sabah sudah buat keputusan

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Sep 2020, 3:41 petang

PRN SABAH | Spekulasi mengenai berlaku satu lagi pertukaran kerajaan persekutuan tidak mungkin memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya negeri Sabah Sabtu ini, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Bercakap kepada Malaysiakini, Najib berkata beliau yakin majoriti pengundi di Sabah sudah membuat keputusan sebelum pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa beliau mendapat "sokongan kuat" daripada ahli parlimen untuk beliau menjadi perdana menteri berikutnya.

"Saya fikir rakyat sudah membuat keputusan.

"Dan saya rasa mereka tahu apa yang baik untuk masa depan Sabah," kata Najib ketika ditemui di Batu Sapi selepas berkempen untuk calon BN di kerusi N53 DUN Sekong, Hasulizah Dani.

Menanggapi pengumuman Anwar, Presiden BN dan Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan "ramai" ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar membentuk kerajaan baru.

“Sebagaimana diketahui umum, Umno dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari ahli-ahli parlimen sahaja.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” kata Zahid semalam.

Portal dalam talian The Vibes kemudian memetik sumber-sumber Umno yang mendedahkan mungkin terdapat 15 ahli parlimen parti itu yang menyokong Anwar.

Selepas itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz pada hari ini pula dipetik The Malaysian Insight berkata, "sekurang-kurangnya 10 anggota Parlimen Umno" tidak senang dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pentadbiran PN.

Ditanya mengenai hal itu, Najib berkata beliau tidak tahu mengenai senarai ahli parlimen berkenaan, sambil menegaskan dirinya tetap setia kepada Umno.

Akur keputusan parti

"Pada tahap sekarang, perkara ini masih spekulasi. Yang penting, kita semua ahli parti.

"Saya orang parti. Apa pun yang akan diputuskan oleh parti, saya akan menyokongnya," kata ahli parlimen Pekan itu.

Mengenai kenyataan Zahid, Najib berkata: "Jelas mungkin ada ahli parlimen yang termasuk dalam kategori itu."

"Tetapi lebih mustahak lagi adalah keputusan parti.

"Mari kita tunggu sampai tiba masanya untuk kami membuat pendirian rasmi mengenai isu ini," katanya.

Ceramah menyokong calon BN untuk kerusi DUN Sekong ini turut dibantu jentera Umno dari Kelantan di bawah teraju Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yakub.

Jazlan ketika berceramah menafikan beliau antara ahli parlimen yang dikatakan menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

"Kalau saya sokong perdana menteri dari kayangan, saya tidak akan hadiri di pentas ini malam ini," kata Jazlan.

Sementara Nazri dilaporkan berkata hanya setia kepada Zahid sebagai presiden Umno, Jazlan pada malam ini pula berkata akan menuruti kepimpinan Najib jika perlu mengundi di Dewan Rakyat.

"Kalau nak tanya mana saya pergi? Bosku ke hulu saya ke hulu. Bosku ke hilir saya ke hilir.

"Tak jadi perdana menteri pun bosku tetap bos saya. Datuk Seri (Najib Razak) jawab lah undi Machang nak ke mana," kata Jazlan.

Muhyiddin sejauh ini menyatakan bahawa beliau tetap menjadi perdana menteri sehingga terbukti sebaliknya dan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaannya mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Muhyiddin di sepanjang jejak kempennya di Beluran dan Sandakan berulang kali berpesan supaya rakyat Sabah memilih kerajaan negeri yang dipimpin oleh PN.

Beliau mengisyaratkan dengan itu, ia akan memudahkan penyaluran bantuan tambahan ke Sabah melebihi apa yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.