Malaysiakini
BERITA

Ratusan hadir ceramah GRS, DAP di saat akhir kempen

Geraldine Tong & Koh Jun Lin

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Sep 2020, 2:59 tengahari

PRN SABAH | Di pinggir Kota Kinabalu, kira-kira 25 minit perjalanan dari bandar itu, para penyokong memandu di jalan-jalan desa yang sempit dalam kegelapan malam menuju ke majlis ceramah akhir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sendil, yang merupakan sebahagian dari DUN Petagas.

Sebahagian besar hadirin memakai baju dan topi parti. Kira-kira 500 penyokong bertepuk tangan setiap kali pemimpin GRS bercakap.

Bintang pada majlis malam ini, tidak lain dan tidak bukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang merupakan penceramah terakhir.

Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Kota Kinabalu, dan ketua BN Sabah Bung Moktar Radin tidak hadir majlis malam ini.

Bagaimanapun, BN diwakili oleh Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata beliau terpaksa membatalkan semua program kempen termasuk sesi ceramah perdana malam ini.

Jelasnya, beliau perlu dikuarantin susulan dirinya kontak rapat dengan Ahli Majlis Tertinggi Razlan Rafii yang disahkan positif Covid-19.

Menurut pemberitahuan kepada media, Zahid - yang berkempen di Sook, Pensiangan, dan beberapa kawasan pedalaman lain hari ini - akan tiba di Kota Kinabalu pada pukul 7.30 malam hari ini.

Belum diketahui kenapa kedua-dua Zahid dan Bung tidak dapat hadir ke acara tersebut.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hazmah Zainuddin, ketua PN Sabah Hajiji Noor, Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS Jahid Janim.

Parti komponen BN diwakili oleh Presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, kira-kira lima kilometer dari Kota Kinabalu, DAP pula mengadakan majlis ceramah di Tanjung Lipat.

Beberapa calon DAP di kawasan Kota Kinabalu hadir seperti calon Luyang, Phoong Jin Zhe dan calon Likas, Tan Lee Fatt. Calon PKR untuk Api-Api Christina Liew juga hadir.

Selain itu, veteran DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung Lim Guan Eng dan timbalan setiausaha agung Nga Kor Ming turut hadir majlis malam ini.

Acara yang diadakan di Dewan Hakka yang luas dan berhawa dingin dihadiri kira-kira 350 orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada etnik Cina.

Ucapan para calon kebanyakannya terdiri daripada gabungan dialek Hakka, Mandarin, Inggeris dan Melayu.

"Orang Sabah boleh bertutur dalam pelbagai jenis bahasa, kan," soal Liew kepada hadirin dan sebilangan mengangguk tanda bersetuju.

Ketika pemimpin DAP tiba, hadirin bangun berdiri dan bertepuk tangan menyambut mereka. Sebilangan hadirin pula kelihatan berbaris untuk mengambil gambar bersama mereka.

Majlis ini turut menyiarkan secara langsung mesej khas daripada Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal yang meminta semua orang untuk memilih calon Warisan Plus ketika waktu kempen semakin hampir berakhir.

Hari pengundian untuk pilihan raya negeri Sabah jatuh pada hari Sabtu.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.