BERITA

Tuduhan terbukti, pendakwa minta mahkamah sabitkan Najib

Bernama

Diterbitkan

Pihak pendakwaan meminta mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak atas semua tujuh pertuduhan membabitkan kes dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, berkata pihak pendakwaan berjaya menangani tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahkan kedudukan yang dihadapi Najib.

“Saya dengan rendah hati mengemukakan bahawa tujuh pertuduhan tersebut telah terbukti. Yang Arif, saya sudah selesai dengan penghujahan dan esok pihak pembelaan akan membantah penghujahan pendakwaan,” katanya selepas menyelesaikan penghujahannya hari ini.

Bagi tiga pertuduhan CBT, Sithambaram berkata Najib mempunyai pengetahuan mutlak bahawa wang RM42 juta dalam tiga akaun peribadinya adalah daripada SRC.

”Tingkah lakunya jelas sebagai seorang yang dengan sengaja melakukan kesalahan jenayah tanpa hukuman kerana kedudukannya,” katanya sambil menambah SRC mengalami kerugian sebanyak RM42 juta manakala tertuduh memperoleh jumlah tersebut.

Bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Sithambaram berkata Najib dapat mempengaruhi pengeluaran pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM2 bilion secara keseluruhan.

Terakhir bagi tuduhan pengubahan wang haram, timbalan pendakwa raya itu berpendapat mana-mana orang waras yang memegang jawatan tertinggi dalam negara akan mengambil tindakan serius jika menemui wang haram dalam akaun peribadinya.

Sithambaram berkata ia dianggap sebagai kebutaan yang disengajakan apabila Najib, 67, gagal menyoal mengenai sumber aliran masuk wang ke akaunnya.

Selalu bertindak reaktif

”Najib, sebagai pemegang akaun bank, perlu berhati-hati dan waspada mengenai dana yang masuk ke akaun peribadinya yang akhirnya dibelanjakan sepenuhnya.

"Tertuduh tidak boleh mengarahkan orang lain untuk memastikan dana diisi semula dalam akaunnya agar dia dapat membelanjakan tanpa kisah mengenai sumber dana tersebut.

"Oleh kerana tertuduh telah menghabiskan wang yang didermakan dan memulangkan sebahagian yang kemudian diterima dalam akaun banknya, bagaimana dia boleh mengeluarkan lebih banyak cek tanpa curiga akan dana di dalam akaunnya?

“Orang yang waras akan mempersoalkan jumlah (wang) yang sangat besar,” katanya.

Pada awalnya, Sithambaram berhujah bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai pengetahuan jelas mengenai perbelanjaan Najib dan mengambil langkah proaktif sebelum tertuduh mengeluarkan cek.

Katanya, walaupun tema utama pembelaan semasa perbicaraan bahawa Jho Low tidak mempunyai pengetahuan mengenai cek yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu, bukti menunjukkan ahli perniagaan terbabit mengambil langkah memastikan sentiasa ada dana yang secukupnya dalam akaun Najib.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram (kiri)

Sithambaram kemudian membaca petikan pemeriksaan balas terhadap tertuduh untuk menunjukkan koordinasi antara Joh Low dan ketua setiausaha sulit Najib, Allahyarham Azlin Alias bagi pihak Najib; dan antara Jho Low dan bekas perdana menteri itu sendiri dalam memastikan dana mencukupi untuk menulis cek.

Petikan tersebut, antara lain merangkumi perbualan BBM (BlackBeryy Messenger) berhubung pembelian menggunakan kad kredit Najib di Hawaii apabila Jho Low memaklumkan Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu supaya memastikan pembayaran dapat dilakukan.

“Bukti pada perbicaraan telah membuktikan Jho Low bukan selalu bertindak reaktif bagi memastikan cek Najib tidak ditendang malah Jho Low cuba memastikan akaun tertuduh mempunyai dana yang mencukupi walaupun sebelum dia (Najib) mengeluarkan ceknya.

“Bertentangan dengan dakwaan pembelaan mengenai peranan reaksioner yang dimainkan oleh Jho Low, beliau aktif dan memudahkan tertuduh menguruskan akaun bank dan akaun kad kreditnya.

"Ini jelas menunjukkan apabila tertuduh dan Jho Low berkomunikasi secara langsung dan juga ketika Azlin berhubung bagi pihak tertuduh ialah memastikan cek tidak ditendang,” katanya.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur dan di Pejabat Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.