BERITA

Ali Rustam bakal ganti Khalil sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jun 2020, 10:55 malam

Bekas Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang ketujuh menggantikan Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Khalid merupakan bekas setiausaha agung Umno dan menteri besar Pahang.

Pelantikan Mohd Ali disahkan oleh exco Melaka, Idris Haron, dalam satu klip video ucapan tahniah kepada bekas Adun Paya Rumput dan ahli parlimen Batu Berendam itu.

"Saya ingin mengambil peluang ini selaku pengerusi Biro Belia Perhimpunan Belia Islam mengucapkan tahniah kepada presiden.

"Kita sedia maklum, di mana beliau telah diletak di tampuk negeri Melaka sebagai gabenor Melaka.

"Alhamdulillah, dengan kewibawaan yang terdapat pada diri Tan Sri (Mohd Ali) yang banyak sumbangan dalam arena politik tanah air, termasuk terutamanya pembangunan belia yang masih presiden Perhimpunan Belia Islam Dunia saya merasakan inilah pilihan terbaik yang dihadiahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada seluruh rakyat negeri Melaka," katanya dalam ucapan tersebut.

Idris yang juga bekas ketua menteri, turut menjunjung kasih kepada Agong atas pelantikan Mohd Ali.

"Ini kali pertama, kita akan mempunyai seorang anak tempatan sebagai TYT Melaka," katanya.

Mohd Khalil Yaakob

Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baru dijadual berlangsung di Balai Istiadat Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, Jumaat ini.

Acara itu akan diikuti dengan majlis serah tugas daripada Mohd Khalil kepada Mohd Ali pada jam 11 pagi.

Mohd Ali berkhidmat sebagai ketua menteri Melaka dari 1999 hingga 2013 sebelum digantikan Idris yang juga Adun Sungai Udang.

Sementara itu, Idris turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Khalil yang memegang jawatan berkenaan selama 16 tahun.

"Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tun Khalil dan isterinya Toh Puan Datuk Zurina Kassim di atas tenaga bakti dan sumbangan kepada rakyat Melaka.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Tun (Khalil) membawa Melaka ke peringkat seterusnya daripada sebelumnya. Rakyat Melaka akan merindui Tun dan Toh Puan selama-lamanya," kata Idris.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.