BERITA

Malindo Air tawar VSS lepas gagal dapat pinjaman

B Nantha Kumar

Diterbitkan

Syarikat penerbangan tempatan, Malindo Air, menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lebih kurang 5,000 kakitangannya selepas mendakwa gagal memperolehi sebarang pinjaman atau jaminan daripada kerajaan bagi mengekalkan perniagaan mereka.

Menurut sumber dalaman Malindo, tawaran VSS itu dibuat melalui memorandum syarikat berkenaan pada 29 Mei lalu. Ia menawarkan VSS kepada kesemua pekerja syarikat terbabit.

"Ya, saya menerima surat itu. Mereka (Malindo) menawarkan kepada semua staf.

"Yang berminat perlu memohon secara sukarela bermula 1 Jun hingga 15 Jun menerusi ketua jabatan masing-masing atau bahagian sumber manusia syarikat," katanya kepada Malaysiakini.

Memorandum tersebut turut dilihat Malaysiakini dan didapati Malindo Air membuat tawaran VSS selepas permintaan pinjaman atau jaminan daripada kerajaan untuk meneruskan perniagaan gagal dicapai.

"Syarikat ini telah mengambil pelbagai langkah sehingga kini untuk mengurangkan kesan Covid-19.

"Walaupun demikian, memandangkan berlanjutannya krisis ini dan dengan tidak banyak sokongan daripada kerajaan dengan permohonan kami untuk memberikan sebarang bentuk pinjaman atau jaminan untuk mengekalkan perniagaan, kita sekarang tidak mempunyai pilihan selain memulakan VSS," menurut kandungan memorandum tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi Malindo Air dan sedang menunggu reaksi daripada mereka.

Dalam memorandum tersebut Malindo Air turut memberitahu kemerosotan perniagaan, kedudukan kewangan yang menurun secara drastik selama lima bulan terakhir dan tidak ada arah aliran yang menunjukkan kenaikan dalam jangka masa enam hingga 12 bulan antara sebab utama VSS ditawarkan.

Tambahnya, pengurangan perkhidmatan pesawat kepada 50 peratus iaitu 12 jet dan 13 ATR menjadikan jumlah tenaga kerja pada ketika ini berlebihan.

Buat masa ini syarikat itu mempunyai 44 pesawat secara keseluruhan.

Untuk rekod, Malindo Air pernah mengeluarkan tiga memorandum dalaman, masing-masing pada 7 Feb, 19 Feb dan 28 Feb lalu.

Memorandum yang terdahulu adalah mengenai inisiatif pemotongan kos untuk meneruskan perniagaan, manakala yang kedua berkauitan langkah segera penjimatan kos.

Memorandum terakhir membabitkan program cuti sukarela tanpa gaji.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.