BERITA

Dr M fikir usia 75 tahun sudah cukup buatnya

Yasmin Ramlan

Diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyangkakan beliau hanya dapat hidup sehingga usia 75 tahun tetapi bersyukur apabila diberikan rezeki usia yang lebih lama.

Pemimpin yang akan menyambut hari jadi ke-95 pada 10 Julai ini, menyifatkan tambahan usia itu sebagai bonus buat dirinya.

“Saya amat bersyukur bahawa saya dapat hidup melebihi angka yang saya jangkakan. Saya fikirkan bahawa 75 tahun sudah cukup untuk saya.

“Saya 94 tahun sekarang. Ia merupakan bonus dan saya amat bersyukur.

“Ia bukan merupakan perkara yang saya boleh perolehi begitu sahaja. Tetapi kerana saya mampu hidup (sehingga kini), saya rasa bahawa saya patut memanfaatkan kehidupan saya sebaik mungkin kerana ini bonus yang diberikan kepada saya,” katanya.

Ahli parlimen Langkawi yang juga pemimpin tertua di dunia itu sebelum ini berkata demikian dalam satu perbincangan siaran langsung di Youtube ketika menjadi tetamu khas dalam “How to turn crisis into opportunity”, anjuran Creative Cloud Community (CCC) hari ini.

Pengasas CCC Natalie Sit terdahulu meminta Mahathir berkongsi antara perkara yang beliau syukuri dalam hidupnya.

Mahathir yang juga pernah mentadbir negara sebanyak dua kali ketika di dalam Umno pada 1981-2003 dan di bawah Pakatan Harapan pada 2018 selama 22 bulan, berkata beliau bersyukur perkahwinannya bersama Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kekal selama 60 tahun.

“Dari segi kehidupan peribadi pula saya telah berkahwin selama 60 tahun. Saya bersyukur.

“Saya lihat ramai orang bosan dengan seorang (pasangan), (tetapi) saya tidak,” katanya sambil tersenyum.

Untuk rekod, Dr Mahathir berkahwin dengan Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 1956.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.