BERITA

Azmin ungkit isu MOU air dalam DUN

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Apr 2014, 3:59 pagi

Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mahu kerajaan Selangor memastikan sebarang perjanjian mengenai air selepas ini dibentangkan kepada ADUN terlebih dahulu dan dikecualikan dari Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau mempertikaikan keputusan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak mendedahkan kandungan MOU antara negeri dan pusat itu.

"Sebelum perjanjian ini ditandatangani saya desak perlu ada persetujuan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar ada mukadimah desak agar perjanjian tidak terikat dengan OSA kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau perkara perjanjian itu penting kerana segala keputusan akan memberi impak kepada rakyat Selangor.

Bagaimanapun Azmin masih mempertahankan Khalid apabila Budiman Mohd Zuhdi (BN-Sg Panjang) bertanya adakah Azmin bersetuju Khalid tidak mendapat nasihat yang betul.

"Saya mengambil pendirian (perkara) ini tanggungjawab bersama yang harus dipikul MB, exco dan ahli yang berhormat dalam dewan ini," tegas beliau.

Sementara itu, Azmin mencadangkan satu jawatankuasa sekretariat dibentuk bagi memantau perjalanan pengambil alihan itu supaya kedua-dua pihak dapat mematuhi terma dan syarat perjanjian.

Beliau juga menuntut supaya perjanjian itu dibentangkan dalam DUN supaya perjalanannya diketahui umum dan bukan ditangani oleh seorang individu sahaja.

"Jawatankuasa itu untuk memantau perjalanan serta meneliti kandungan perjanjian sekali gus memantau perjalanan perjanjian itu supaya perlaksanaan dipatuhi kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.