BERITA

Tiada murtad direkodkan dalam tempoh 10 tahun

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Mac 2014, 4:13 petang

Setakat ini tiada penganut Islam termasuk saudara baru yang keluar daripada Islam, tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ini, katanya, berdasarkan rekod, tiada permohonan untuk keluar Islam dibuat di Mahkamah Syariah.

Dalam jawapan bertulisnya, Jamil bagaimanapun berkata terdapat permohonan menentukan status agama yang dipohon oleh individu berikutan kekeliruan pada sijil kelahiran, kad pengenalan atau sijil akuan memeluk Islam.

"Mahkamah Syariah akan menimbang permohonan tujuan menentu status agama dalam keadaan berlakunya kekeliruan semasa pendaftaran nama terutama di negeri Sabah dan Sarawak di mana nama mereka seperti nama orang beragama Islam tetapi mereka bukan beragama Islam," kata Jamil.

Jamil (BN-Jerai) berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) mengenai jumlah orang Muslim-Melayu yang keluar daripada Islam dalam tempoh 10 tahun lalu.

Bagi menjawab soalan Ko berhubung jumlah bukan Islam yang memeluk Islam, Jamil berkata maklumat yang tepat hendaklah dirujuk kepada jabatan agama atau majlis agama Islam negeri-negeri.

Beliau berkata pendaftaran masuk Islam berada bawah kuasa jabatan dan majlis itu, seperti yang termaktub dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam konteks ini, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengikut rekod Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bilangan orang yang memeluk Islam bagi tempoh 2008-2012 adalah seramai 4,520 orang," kata Jamil.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.