BERITA

'Media asing beratur temubual saya'

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Mac 2014, 5:38 petang

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membidas kepimpinan kerajaan BN dalam menangani isu kehilangan pesawat MH370, dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kajang.

Anwar berkata media asing kini beratur untuk menemuramahnya kerana kecewa cara pengurusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinet yang didakwanya gagal memberi jawapan dan maklumat kepada media mengenai perkara ini.

"Semalam CNN, selepas ini media UK, kemudian media China pula akan temuramah saya.

"Saya tanya kenapa temuramah saya, saya bukan perdana menteri. Mereka jawab, kami mahu jawapan," katanya.

Ketua umum PKR itu juga  menempelak pihak yang menuduh beliau cuba mempolitikkan isu tersebut, ketika berceramah di Taman Mewah, Kajang malam tadi.

"Mereka (BN) marah bila saya ditemuramah. (Mereka kata) Anwar ini siapa?. Tetapi semua orang mahu maklumat.

"Di Australia, PM Tony Abbott dapat maklumat terus bentang di Parlimen. Berbeza dengan PM Malaysia," kata beliau merujuk keengganan Parlimen membahas hal pesawat dan sesi taklimat isu ini yang hanya melibatkan ahli parlimen BN kelmarin.

Dalam temuramah bersama CNN semalam, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata radar Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan pesawat MH370 yang hilang.

Bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu berkata, pada masanya Malaysia telah membeli sistem radar Marconi yang merupakan antara paling berkesan di dunia untuk kawasan Utara Malaysia.

"Saya menteri Kewangan (ketika itu) saya bayar (untuk kerajaan)... Saya tahu radar di utara dan pantai timur boleh tengok kapal terbang yang lalu siang, malam, pagi, petang," kata beliau kepada kira-kira 200 hadirin malam tadi.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200ER hilang secara misteri pada awal pagi 8 Mac, dan operasi mencari dan menyelamat dianggap terbesar dalam sejarah penerbangan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.