BERITA

PM: Subsidi tiris selagi ada kawalan harga

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Mac 2014, 7:12 pagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ketirisan dalam agihan subsidi tidak dapat dielakkan selagi kerajaan melaksana kawalan harga barang dan agihan subsidi secara pukal.

Menurut Najib, golongan yang mengambil kesempatan dari agihan subsidi akan sentiasa mencari jalan untuk berbuat demikian.

"Inilah masalahnya apabila kita tidak mengikut kuasa pasaran.

"Kerana itulah kita perlu laksanakan subsidi bersasar.

"Dengan itu yang dapat manfaatnya rakyat Malaysia, dan bukannya penyeludup atau warga asing," katanya sewaktu menjawab soalan berkenaan kos sara hidup di Dewan Rakyat pagi ini.

Menurutnya, kerajaan akan dapat berjimat berbilion ringgit dengan melaksanakan subsidi bersasar seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Dalam jawapannya, Najib turut menggariskan tujuh perkara yang telah dilakukan kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Pertama adalah peruntukan hampir RM40 bilion meliputi subsidi barangan asas seperti produk petroleum, gas memasak, tepung gandum serta beras; dan insentif serta bantuan kepada rakyat.

Kedua, adalah bantuan BR1M kepada yang memerlukan dan yang ketiga adalah kerjasama kerajaan dengan sepuluh buah hypermarket bagi menawarkan diskaun di antara 10 hingga 70 peratus ke atas 4000 produk tertentu.

Keempat, penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan timbalan perdana menteri serta peruntukan RM120 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan jaminan komoditi tertentu mencukupi.

Langkah-langkah lain adalah Ops Harga 2014 bagi memeriksa dan memantau harga serta kewujudan 126 buah Kedai Rakyat 1 Malaysia.

Turut diwujudkan, umum Najib lagi, adalah pemantauan harga menerusi portal 1Malaysia Pengguna Bijak untuk kegunaan pengguna.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.