BERITA

Anwar: Media Umno tetap sebar maki hamun

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mac 2014, 2:49 tengahari

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin Umno bagai tidak berpijak di dunia nyata apabila menganjurkan untuk bertanding secara 'gentleman' dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

Katanya, beliau masih tetap diserang melalui media dikuasai BN walaupun Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menganjurkan agar kempen pilihan raya berjalan dengan bersih.

"Dari segi politik saya tak ada masalah nak 'gentleman' kerana ini persaingan politik yang sihat.

"Tapi kenyataan maki hamun cerca hukum orang (tetap) disebar dalam media Umno," kata beliau selepas sesi bertemu rakyat  di bandar Kajang hari ini.

Beliau tidak akan melayan perkara itu dan meneruskan kempennya sendiri, kata Anwar yang mengulas kenyataan Muhyiddin semalam.

Sementara itu, Anwar turut menjawab kenyataan bakal calon bebas Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa beliau akan mengabaikan pengundi di Kajang setelah berjaya menjadi ADUN pada 23 Mac depan.

Katanya, rekod beliau sebagai MP Permatang Pauh selama lebih 30 tahun membuktikan beliau mampu mendekati Rakyat di kawasan beliau walaupun tidak setiap hari.

"Saya bukan peguam korporat atau orang korporat. Saya hanya lelaki biasa dari kampung Cheruk Tok Kun. Saya dilahirkan di situ. Dan orang Kajang akan faham.

“Saya tidak akan memberi gambaran salah dan tipu mereka bahawa saya akan ada di sini setiap hari. Tapi Kajang dekat dengan  rumah saya di Kuala Lumpur, rumah bapa saya pun di sini," kata beliau.

Zaid dalam tulisan di blognya mendakwa tanggungjawab Anwar yang semakin banyak akan menyebabkan beliau tiada masa menjenguk pengundi di Kajang.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.