BERITA

Versatiliti politik Anwar di Kajang

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Feb 2014, 12:16 tengahari

Walaupun tarikh rasmi berkempen pilihan raya kecil (PRK) Kajang hanya bermula 16 hari lagi dari tarikh penamaan calon 11 Mac depan, calon Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun bekerja keras.

Pemimpin yang terkenal dengan vitaliti dan versatiliti politik boleh dilihat sebagai 'lelaki yang memakai banyak topi' kerana kebolehan beliau menyesuaikan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Namun jelas tidak berselindung Anwar mengambil berat PRK kali ini dan dilihat sedang menyediakan diri untuk menerajui pentadbiran negeri Selangor yang kini dipegang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tinjauan Malaysiakini sepanjang dua minggu ini, walaupun Anwar menggunakan mesej sama di hampir semua program beliau, pendekatan beliau dapat disesuaikan mengikut keadaan.

Pagi ini, beliau hadir di sebuah surau kecil bernama 'Pondok Zakaria' memberi kuliah dhuha kepada lebih kurang 50 tetamu.

Sebagai bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Anwar mengulang kembali cara pentadbiran beliau sejak dahulu dalam terma Islam dan pembangunan masyarakat.

Hadirin yang terdiri dari masyarakat Melayu Islam dan penyokong beliau dilihat tertarik dengan kemampuan beliau sebagai orator dan penceramah.

Sementara itu pada waktu tengah hari pula, beliau 'menukar topi' dan menghadiri program ramah mesra dan malan tengah hari bersama pemimpin India PKR dan Jawatankuasa Kuil Seri Maha Marriaman Ladang Braemer di Batu 13 Kajang.

Anwar menari, menyanyi

Ketua Pembangkang itu juga menunjukkan kebolehan apabila turut sama menari dan menyanyi lagu popular Tamil "Naan Aanaiyittal" oleh artis lagenda yang kini menjadi ahli politik, MGR.

"Saya hafal lagu ini. Ia bermaksud jika saya berkuasa, tiada siapa akan miskin, tiada siapa akan menangis," kata beliau selepas ramai hadirin terkejut kefasihan dan semangat beliau bersama seorang artis undangan.

Presiden kuil itu, Ponnasegra a/l Ponna Ramon berkata beliau yang mahu memujuk Anwar hadir ke hari itu kerana yakin tokoh itu mampu membantu kuil itu selepas berjaya menerajui Selangor nanti.

"Sebelum ini kami tidak dibantu, (tapi) kalau Anwar menang dia boleh bantu," kata beliau kepada Malaysiakini.

Ponna berkata sejak 2006, kuil yang berusia lebih 100 tahun ini bermasalah dengan pemaju Bandar Subang Sdn Bhd mengenai isu tanah dan pampasan.

Menurutnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh adalah seorang pemimpin yang disukai ramai kerana boleh bersama dengan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Yang menarik, calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun pada masa sama hanya berada kira-kira 400 meter dari kuil tersebut, mengagihkan bantuan BR1M kepada penduduk Kajang.

Bagaimanapun Chew, bersama Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Umno Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz dilihat hanya berkempen menerusi pemberian bantuan kerajaan pusat.

'Anwar layak jadi MB'

Bersama kalungan bunga dari kuil itu, Anwar kemudiannya hadir ke majlis anjuran Abim bersama rakan lama beliau dan tetamu kehormat, bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di Hotel KK, Kajang.

Bekas pengerusi Abim Selangor, Sallehin Abu Bakar turut menyampaikan beberapa sajak dan pantun, dengan salah satunya mempunyai bait "Anwar layak jadi MB, Anwar layak ketuai Selangor."

Di sini dilihat Anwar 'memakai topi' aktivis dan turut sama bergelak ketawa bersama rakan lama beliau yang mengenali beliau sejak 30 hingga 40 tahun lalu.

Dalam remang matahari yang mula terbenam, bekas timbalan perdana menteri itu masih mempunyai sekurang-kurangnya lima lagi program pada malam tadi.

Beliau akan bertemu pula sekumpulan anak muda dalam acara sukan futsal sebelum bersama masyarakat sebelum dijadualkan bersolat maghrib bersama penduduk kajang sebelum tiga acara ceramah bermula 9 malam tadi.

PRK Kajang 23 Mac depan ini dilihat sebagai cabaran terbaru Anwar dalam membuktikan beliau tetap kekal dalam persada politik Malaysia.

Jika beliau menang dengan majoriti yang sedikit, 'mandat' beliau untuk mentadbir Selangor (dan kemudiannya Putrajaya) bakal terjejas.

Setakat ini selain Anwar dan Chew, mereka yang turut menunjukkan minat bertanding ialah bekas ahli PKR dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, artis 80-an Herman Tino serta seorang peguam, Yuktes Vijay yang dijangka tidak memberi saingan sengit kepada beliau.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.