BERITA

Tolak diskusi, ISMA mahu ahli Comango 'bertaubat'

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Feb 2014, 3:35 petang

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menolak tawaran berdiskusi dengan Gabungan NGO Malaysia (Comango) buat masa sekarang.

Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman berkata perkara yang dilakukan Comango itu dianggapnya memudaratkan negara dan mahu ahli gabungan NGO itu 'bertaubat' dan kembali kepada agenda perpaduan nasional.

"Apa yang dilakukan mereka (Comango) jelas memudaratkan negara.

"Saya tidak fikir (diskusi) itu yang diperlukan sekarang. Masalah kita adalah kita kena selamatkan negara. Beri keutamaan kepada perpaduan nasional," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Jurucakap Comango, Honey Tan pagi tadi mengajak NGO yang mengkritik Comango atas dakwaan menjejaskan kedudukan Islam dalam negara serta mempromosi seks luar tabii, untuk bersama dalam satu dialog.

"Kami mahu berdialog dengan NGO-NGO termasuk Isma untuk menjelaskan kerisauan dan buat mereka memahami apa itu Comango," katanya dalam sidang media pagi ini.

Sebelum ini, Isma berikrar akan "melondeh habis-habisan" agenda Comango termasuk hak murtad serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Abdullah berkata, agenda Comango yang diimport khususnya Amerika Syarikat, tidak berdasarkan pengalaman dan nilai setempat serta bermotifkan penjajahan untuk merosakkan masyarakat Islam.

Tahun lalu, Comango pergi ke Geneva, Switzerland menyampaikan tuntutan kepada Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu untuk penilaian UPR (Semakan Berkala Sejagat).

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.