BERITA

Anwar: Cabaran politik S'gor berat buat Khalid

Susan Loone

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Feb 2014, 7:23 malam

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan beliau mengintai kerusi DUN Kajang semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman parti, seperti mana kritikan pelbagai pihak.

Dalam sidang medianya di Masjid Al-Nadhoh di Seberang Perai, malam tadi, Anwar menjelaskan adalah di luar keupayaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menangani cabaran politik di negeri itu khususnya propaganda dan tekanan kerajaan persekutuan.

Anwar berkata strategi keseluruhan di belakang "Gerakan Kajang" bahawa ia adalah penting bagi Selangor untuk menjangkaui hanya menjadi negeri yang cekap, dan untuk mengekalkan status quo.

"Untuk dilihat sebagai model ialah mampu menahan propaganda yang berterusan dan tekanan yang berterusan daripada kerajaan persekutuan, yang menyebabkan banyak program kita ditangguhkan atau tergelincir," kata Anwar selepas berucap kira-kira 800 di Kubang Semang, di Seberang Perai, Pulau Pinang. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Anwar berkata parti-parti sekutu dalam pakatan pembangkang memang telah membuat perancangan untuk mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi memberi laluan kepadanya bertanding di kawasan itu.

Beliau berkata peletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh pada 27 Jan lepas juga dilakukan menerusi rundingan terlebih dahulu, dan bukan secara mengejut.

"Dia (Lee) meletak jawatan itu bukan tanpa rundingan. Dia letak (jawatan sebagai ADUN) itu memang nak bagi ruang kepada saya untuk bertanding. Kerajaan negeri Selangor juga mengetahui tentang perkara itu.

"Dalam politik kena ada kejutan, dan ini (peletakan jawatan Lee) dianggap sebagai satu strategi kita (Parti Keadilan Rakyat - PKR)," katanya kepada kira-kira 200 ahli jawatankuasa cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan cabang wanita di Yayasan An Nahdoh, di Kubang Semang.

Anwar juga mengakui bahawa kerajaan negeri Selangor memang berhadapan dengan masalah dalaman tetapi ia dalam keadaan terkawal.

"Walaupun kerajaan negeri Selangor ditadbir dengan baik dari aspek urusan ekonomi, tetapi masalah gereja dan bible merupakan masalah yang paling berat di Selangor, jadi saya perlu bantu untuk selesaikan masalah itu," katanya.

Anwar juga berkata beliau akan membuat penjelasan secara terperinci mengenai hasratnya bertanding di DUN Kajang Isnin ini, di Kajang bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.  

Lee memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.  

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.