BERITA

Pembuat baju untuk demo 31 Dis disiasat polis

Farah Noor Samat

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Jan 2014, 9:49 malam

dikemaskini 10pm Seorang pembuat kemeja-t himpunan untuk protes anti kenaikan kos hidup 31 Disember hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Serdang untuk memberikan keterangan.

Rakannya Wong Kar Fai berkata, Mohd Zul Raidy Ahmad Tarmizi ( kanan ) atau dikenali sebagai Eddy Gordo disiasat bawah Seksyen 124(D) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaitan tindakan mencetak dan menjual bahan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Ia juga memperuntukan penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau memasuki IPD berkenaan pada kira-kira jam 7 petang tadi dan berada di situ selama lebih dua jam.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada 31 Disember lalu mengecam pemburuan polis terhadap Zul Raidy yang dikaitkan dengan himpunan membantah kenaikan kos sara hidup.

Menganggapnya sebagai satu penindasan, kumpulan hak asasi itu memaklumkan Zul Raidy disiasat bawah Kanun Keseksaan yang dibaca sekali dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Memetik abang kepada Zul Raidy, Suaram menjelaskan, sepasukan polis datang ke rumah keluarganya di Taiping pada malam 30 Disember untuk menahan adiknya itu.

Bagaimanapun, aktivis berkenaan tidak ada di rumah ketika itu, menurut Suaram lagi.

Polis juga dilapor menggeledah rumah sewanya di Seri Kembangan dan merampas baju-baju miliknya.

Difahamkan antara kemeja-t yang dirampas bertemakan perjuangan gerakan radikal kiri Angkatan Pemuda Insaf (API).

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.