SENI & HIBURAN

Samantha syak ada pihak mahu lihat dia jatuh

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jun 2020, 10:57 malam

Nama bekas pemenang Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James, menjadi perhatian lagi selepas sebelum ini dia mengundang kemarahan ramai ekoran komennya mengenai rusuhan di AS.

Terbaru, suatu klip video pendek memaparkan dia sedang bergaduh dengan orang kulit hitam dalam keadaan mabuk beredar meluas dalam talian sejak malam tadi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Samantha menjelaskan, video terbabit disyaki diedarkan oleh pihak yang memang cuba menjatuhkan imejnya terutama selepas membuat kenyataan kontroversi mengenai kempen Black Lives Matter itu.

Menguatkan dakwaannya, kata Samantha, video tersebut sebenarnya dirakam di Los Angeles, AS, ketika dia berada di negara terbabit untuk menyertai pertandingan Miss Universe 2017.

“Video tu video lama yang dirakam oleh ibu salah seorang peserta Miss Universe 2017.

"Kami hadir di sebuah majlis dan ia dirakam tanpa kebenaran saya, dan tiba-tiba sekarang ia muncul semula," katanya.

Menurut Samantha lagi memang ketika itu dia berada dalam keadaan mabuk dan pergaduhan tersebut tidak dapat dielakkan.

Ketika ini, dakwa model yang pernah membintangi filem Wanita Terindah pada 2017 itu dia tidak lagi menjadi seperti apa yang dirakam dalam video berkenaan.

“Saya sudah tak seperti itu lagi sejak hampir setahun, tapi pasti ada saja orang yang nak lihat saya jatuh dengan munculkan semula video ni,” katanya ketika dihubungi.

Atasi dengan cara meditasi

Mengakui dia bergelut dengan dirinya kerana berdepan saat-saat sukar sejak dua tiga hari lalu, Samantha, 25, berkata dia hampir-hampir terfikir untuk menamatkan nyawa sendiri.

“Apabila terlalu banyak membaca komen mengenai situasi yang terjadi, saya ada terfikir nak mencabut nyawa sendiri semalam,” katanya.

Melalui video terbabit, Samantha dilihat cuba mempertahankan kenyataannya berkaitan Malaysia yang disifatkannya lebih baik berbanding negara lain.

Perselisihan faham itu kemudian menjadi bertambah tegang apabila Samantha membaling gelas champagne ke arah seorang wanita, tetapi ia tersasar kemudian mengenai dahi orang yang berdiri berdekatan mereka.

Kontroversi isu warna kulit membabitkan Samantha yang dicetuskannya di Insta Stories pula mengundang rasa kurang senang banyak pihak, antaranya aktor Henry Golding.

Golding yang dikenali melalui filem Crazy Rich Asians itu menyifatkan Samantha tidak mungkin dapat memahami situasi penindasan sebenar terpaksa didepani orang kulit hitam di AS. 

Samantha kemudian mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di media sosialnya malam tadi dengan berikrar akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen.

Mengulas lanjut situasi mental dan emosinya ketika ini, Samantha berkata, dia yakin dirinya lebih tenang selepas melakukan meditasi yang menghubungkan minda dan tubuhnya.

“Saya sudah lebih tenang, stabil kerana menggunakan kaedah meditasi, ia membantu menenangkan minda di saat ada ramai orang mahu melihat saya jatuh.

“Saya juga berterima kasih kerana mempunyai ramai rakan-rakan yang membantu dan memberi sokongan untuk saya kembali bersemangat menempuh dugaan ketika ini.

“Buat mereka yang tak mengenali saya, jangan cepat menghukum, memang mereka berhak berbuat demikian, tapi saya bukan seorang bersifat perkauman,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.